CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sabtu, 8 Januari 2011

FAM tidak bela penyokong bola

PADA perlawanan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan tempat duduk khas dan kawalan keselamatan sebanyak 15,000 tempat duduk kepada penyokong Indonesia.

Apa yang kita lihat tempat duduk khas itu berlebihan jika dibandingkan kehadiran penyokong Indonesia bahkan penyokong Malaysia ramai yang terpaksa berdiri kerana tiada kekosongan tempat duduk walaupun kita sebagai tuan rumah.

Berikut saya nyatakan keluhan kira-kira 58 penyokong Malaysia yang menyertai rombongan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) ke Jakarta bagi memberi sokongan kepada pasukan negara. Rombongan adalah terdiri daripada penyokong dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan Johor.

Apa yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebaliknya, iaitu pihak Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) langsung tidak memperuntukkan tempat duduk khas untuk penyokong Malaysia. FAM ada menyatakan sebelum kami bertolak ke Jakarta, PSSI bersetuju untuk memberi tiket dan tempat duduk VIP serta kawalan keselamatan kepada penyokong Malaysia.

Amat mengecewakan pada hari perlawanan itu pihak FAM hanya diberikan tiket biasa bercampur penyokong Indonesia, masuk melalui 'pintu dua lokasinya di belakang pintu gol. Alasannya tempat duduk khas tidak mencukupi kerana terlalu banyak permintaan VVIP tempatan.

Di sini, kewibawaan FAM dipersoalkan dalam memperjuangkan mendapatkan tempat duduk khas kepada penyokong negara. Walhal permintaan kita tidak sampai 100 tempat duduk berbanding 15,000 tempat penyokong Indonesia diberikan di Bukit Jalil.

Adakah suara FAM terlalu lemah atau perlu campur tangan kerajaan Malaysia. Sebagai contoh lihat kehebatan penyokong bola sepak Jepun dan Korea Selatan kelihatan akan berada di mana-mana dan diberi tempat duduk khas.

Akhirnya memikirkan faktor keselamatan dan nasihat pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta kami dipelawa menyaksikan perlawanan itu di skrin besar di dewan Kedutaan. Penyokong Indonesia dikatakan terlalu fanatik dan agresif dan tiada jaminan kawalan keselamatan.

Keputusan ini amat mengecewakan tambahan ada ahli rombongan kami adalah pelajar sekolah.

Dengan semangat yang cekal untuk negara, 14 orang daripada kami termasuk saya memberanikan diri masuk ke Stadium Bung Karno dalam lautan merah penyokong Indonesia tanpa mempedulikan risiko keselamatan.

RUFFEY,
Negeri Sembilan.

0 Komen Anda: