CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 18 April 2010

Famemas Akan Berkampung Di Stadium Sempena Piala Thomas Dan Uber

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Dua puluh ahli Kelab Famemas Kuala Lumpur & Selangor (Famemas), kelab penyokong sukan Malaysia akan "berkampung" di Stadium Putra, Bukit Jalil dari hari pertama berlangsungnya kejohanan Piala Thomas dan Uber bulan depan bagi memberi sokongan moral kepada pemain badminton negara.

Famemas, yang diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia dan kini dianggotai 500 orang, terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion, bangsa dan agama, turut menggerakkan usaha promosi menarik rakyat Malaysia untuk ke stadium menyaksikan kejohanan badminton berprestij yang akan berlangsung dari 9 hingga 15 Mei ini.

"Rakyat negara ini perlu memenuhi segenap ruang di stadium. Rakyat perlu berbangga kerana telah sekian lama Malaysia tidak menganjurkannya," kata Pengerusi Famemas Lee Hui Seng kepada Bernama Khamis.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber adalah pada 2002.

Lee berkata ahli Famemas yang lain akan menyertai 20 ahli penyokong tetap di stadium apabila berkesempatan untuk memberi sokongan moral kepada pemain negara.

"Kami yang berkampung di stadium akan memakai baju 'Harimau' sambil membawa kain rentang, bendera Malaysia dan berkompang," katanya.

Beliau berkata sokongan penyokong mampu meningkatkan semangat juang para pemain badminton negara untuk memenangi kembali Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya pada 1992 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Famemas akan menyebarkan maklumat-maklumat dan berita berkaitan kejohanan itu melalui blog Famemas.

Lee berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) harus mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah kekurangan promosi sebelum kejohanan itu bermula.

"Media elektronik juga diharap dapat menyiarkan kembali detik-detik kegemilangan Piala Thomas dan Uber agar rakyat Malaysia dapat menghayati atau menonton detik bersejarah ketika pemain badminton kebangsaan bergelar juara," katanya.

Famemas turut bersama kontingen negara ke temasya sukan SEA, bermula edisi di Vietnam (2003), Manila (2005), Korat (2007), Vientiane (2009) dan Sukan Asia di Busan, Korea Selatan (2002), Sukan Asia Doha, Qatar (2006) dan Sukan Olimpik di Athens (2004).

1 Komen Anda:

E. berkata...

saya amat berminat untuk menjadi ahli Famemas dan amat teruja jikalau dapat menjadi salah satu penyokong Malaysia pd Thomas & Uber Cup nanti. bagaimana untuk saya menyertai kumpulan sorak untuk event ini? Tq.