CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 29 September 2009

Chong Wei, disaran berusaha keras, ikut jejak langkah Nicol

Saya adalah peminat badminton dan sentiasa mengikuti perkembangan badminton negara kita. Saya ingin memberi komen mengenai pemain nombor 1 Malaysia/dunia kini, Lee Chong Wei. Adakah layak diberi status nombor satu dunia? 

Bagi saya, dia tidak layak lagi memegang takhta itu. Beliau berada di "ranking" itu disebabkan jumlah penyertaan yang membantunya mengumpul jumlah mata rangking. Bagi saya, status berkenaan milik Lin Dan, pemain nombor satu China kerana memenangi banyak kejohanan seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik, Piala Thomas, Piala Sudirman dan sebagainya.

Sungguhpun Lin Dan mempunyai sikap "angkuh" beliau sentiasa berusaha dan sentiasa maju jika kita bandingkan dengan Chong Wei. Setiap kejohanan utama, seperti Kejohanan Dunia. Kita mengharapkan kejayaan cemerlang tetapi malangnya Chong Wei tidak mampu menampung beban dan tanggungjawab yang dipikulnya.

Sebaliknya, beliau lebih kerap memenangi kejohanan yang berfrofil rendah. Setiap kekalahan akan diikuti dengan "alasan" yang kerap didengari, Misbun Sidek pernah memberi komen bahawa Chong Wei dalam keadaan "sejuk" selepas kekalahan di kejohanan dunia tahun ini.

Baru-baru ini, di Kejohanan Terbuka Jepun, Chong Wei memberi komen bahawa beliau mengalami kesakitan di lutut kiri yang menimpanya semenjak tiga tahun lalu. Kalau sakit, ubati kesakitan itu dengan segera dan buatlah latihan secukupnya untuk kembali cergas dan maju.

Negara kita cukup dengan kemudahan moden dan pakar untuk mengatasi masalah ini. Bukan sentiasa memberi alasan demi alasan. Banyak kemudahan dan insentif yang diberikan pihak kerajaan. Pihak swasta dan korporat juga datang membantu menawarkan kontrak untuk menaja barangan mereka.

Ikuti jejak langkal Nicol Ann David. Kejayaan dicipta di setiap kejohanan utama dan setiap kekalahan diambil terbuka dan profesional. Kita boleh lihat pencapaian dan komitmen Nicol. Setiap kekalahan, beliau akan berusaha keras untuk akan datang.

Nicol menjadi pemain nombor satu wanita dunia untuk tiga tahun berturut-turut dan memang menjadi kebanggaan Malaysia. Kita harapkan sukan squash dapat dimasukkan pada Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Saya harap pihak tertentu akan turut serta membantu Chong Wei mengatasi masalah beliau dan sudah tiba masanya kita mempunyai pemain pelapis badminton yang setaraf dengan pemain China. Kalau China mempunyai pelapis yang sehandal pemain utama, kenapa kita tidak ada?

Janganlah cuma mengharapkan sekelompok pemain saja yang mungkin tidak menjamin kejayaan, lebih-lebih lagi harapan menggunung pada Sukan Olimpik di London.

TAN WEI KIM
Pulau Pinang.

0 Komen Anda: