CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 14 Julai 2009

PSM perlu bersikap terbuka

Orang ramai akan lebih memahami masalah sukan sepak takraw negara



SELEPAS kekalahan pada Kejohanan Piala Raja Thai, dua minggu lalu, sukan sepak takraw menjadi tumpuan menerusi reaksi balas pelbagai pihak ekoran kegagalan membawa pulang pingat emas daripada Bangkok. 

Penulis memuji keberanian Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, yang tidak mahu berundur kerana mahu terus melaksanakan perancangannya yang dikatakan akan hanya sampai ke matlamat dalam tempoh satu setengah tahun lagi.

Perancangan itu ialah memastikan pingat emas Sukan Asia yang sudah lama tidak dimenangi pemain negara, mampu dibawa pulang. Bagi Ahmad Ismail, perkiraannya mudah. Gagal memang emas, dia akan meletak jawatan. 

Cuma, kata orang, jangan kita merancang membuta tuli. Jangan hanya bercakap mengenai perancangan, tetapi perincian dalam melaksanakan perancangan itu, sampai sekarang belum pun disiapkan. 

Penulis berkata demikian kerana, seperti diakui sendiri oleh Ahmad Ismail, kelompok pemain yang ada dalam skuad kebangsaan ketika ini bukan yang terbaik. PSM lebih utamakan pemain berdisiplin, bukan yang tidak tahu menurut perintah.

Apa yang dihairankan ialah kenyataan itu sebenarnya mencipta pula persoalan tambahan. Apakah dalam PSM itu, atau pun jawatankuasa kejurulatihan dan barisan jurulatihnya, tiada seorang pun mampu memastikan pemain yang tidak berdisiplin jadi berdisiplin? 

Lagi satu, jika pemain tidak berdisiplin, sudah tentu kita mahu tahu puncanya supaya tindakan dapat diambil. Lagilah kita hairan kerana PSM seperti tidak endah dan membiarkan pemain yang kononnya tidak berdisiplin itu, bebas keluar daripada skuad kebangsaan tanpa dikenakan sebarang tindakan. 

Kerana itulah, mungkin ada baiknya desas desus mengenai sikap kebudak-budakan segelintir orang kuat PSM diselidiki. Ada pemain yang lebih baik kononnya digugurkan kerana tidak mahu 'menyembah' orang kuat PSM. Sebab tidak mahu minta maaf, mereka diketepikan. 

Jika benar apa dikatakan itu, mungkin PSM sendiri harus cermin diri sendiri. Mana yang lebih penting, mahu jaga ego diri atau pun kepentingan martabat negara dan sasaran emas yang harus lebih diutamakan?

Kerana itu juga, penulis agak terkilan apabila Ahmad Ismail menempelak golongan bekas pemain yang memberi kenyataan. Bukankah semua idea daripada pelbagai pihak didengar daripada hanya dengar idea kawan-kawan kita sahaja? 

Janji untuk berundur itu sebenarnya bagus, kerana jika kita sudah tetapkan matlamat dan kemudian gagal mencapainya, memang itulah satu-satunya pilihan yang ada. Seperti kata Ahmad Ismail sendiri, demi martabat dan maruah sukan itu! 

Pihak berwajib seperti Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga sudah buktikan bahawa sukan sepak takraw tidak dibiarkan bersendirian. Kerana itu, jika gagal nanti, jangan pula dituding jari kesalahan kepada kedua-dua organisasi itu. 

Serentak itu juga, PSM sendiri juga perlu bersikap terbuka dalam pengurusan hal ehwalnya. Ada isu-isu berkaitan sukan sepak takraw yang sehingga kini belum selesai, seperti isu peruntukan awal untuk pembinaan Akademi Sepak Takraw Dunia. 

Turut perlukan penjelasan lanjut ialah mengapa PSM menghantar ramai pegawainya untuk apa disifatkan sebagai 'rombongan bercuti' ke luar negara sebelum ini. Jangan hanya hantar nota ringkas, tanpa ada penjelasannya. 

Sikap terbuka itu bagus. Kerana orang akan lebih memahami andainya kita, biarpun sudah mencuba sebaik mungkin, di penghujungnya nanti gagal mengelak kegagalan. 

Penulis kini tidak sabar untuk menunggu tempoh satu tahun setengah itu. Biarlah dapat memenuhi sasaran, bukannya jadi lebih merudum prestasi skuad negara.

0 Komen Anda: