CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sabtu, 4 Julai 2009

Pei Tty - Eei Hui Lakar Sejarah


Beregu wanita pertama negara jadi pilihan utama pada Kejohanan Dunia 

PENTAS Kejohanan Badminton Dunia di Hyderabad, bulan depan, hampir pasti menyaksikan kombinasi Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melakar sejarah sebagai beregu wanita pertama negara bermula selaku pilihan utama. 

Namun ketika ini, kemungkinan itu belum mampu menggembirakan ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky yang tahu masih ada kekurangan pasangan bimbingannya itu yang perlu segera diatasi jika mahu menepati status berkenaan.

“Kekalahan ketika final Grand Prix Emas lalu membuktikan Pei Tty dan Eei Hui masih perlu belajar bagaimana untuk menangani tekanan sebagai pilihan utama. Ketika ini, mereka belum siap sepenuhnya. 

“Mereka seperti belum yakin bahawa mereka mampu menang gelaran sebagai pilihan utama. Ia terbukti selepas mereka seolah-olah tidak percaya ketika memenangi Terbuka Indonesia lalu,” katanya. 

Buat tambah menggelisahkan, Pei Tty-Eei Hui kemudian gagal menjelmakan tentangan bermakna ketika kalah mudah 9-21, 11-21 di tangan beregu muda China, Ma Jin-Wang Xiaoli ketika final GP Emas di Johor Bahru, minggu lalu.

Namun di sebalik kebimbangan itu, Rexy mengakui masih ada petanda positif yang membuatkannya mahu percaya betapa baki dua minggu sebelum kejohanan itu mampu dimanfaatkan untuk memantapkan lagi gandingan itu. 

“Pei Tty dan Eei Hui sudah buktikan bahawa mereka mampu bangkit daripada kekalahan seperti itu. 

“Buktinya, mereka juga kalah mudah di tangan Cheng Shu-Zhao Yunlei ketika Terbuka Jepun, tahun lalu tetapi mampu pula menewaskan lawan sama ketika Terbuka Indonesia kemudian. 

“Mereka punya kemampuan. Apa yang perlu ketika ini ialah mengukuhkan lagi keyakinan mereka supaya mampu menghasilkan prestasi terbaik ketika kejohanan dunia nanti,” katanya.

Selain Chen Shu-Yunlei, pencabar utama lain yang akan jadi penghalang di Hyderabad ialah dua beregu Korea Selatan - Lee Kyung Won-Lee Hyo Jung dan Ha Jung Eun-Kim Min Jung - serta pasangan Taiwan, Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing. 

Dua bekas juara dunia dari China, Zhao Tingting-Zhang Yawen serta Du Jing-Yu Yang juga adalah lawan yang turut perlu diberi perhatian.

0 Komen Anda: