CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Rabu, 15 Julai 2009

M'sia Sekali Lagi Tumpaskan Zimbabwe


SHAH ALAM, 14 Julai Malaysia mengalahkan Zimbabwe 1-0 bagi mencatat kemenangan kali kedua berturut-turut pada perlawanan persahabatan antarabangsa keduanya di Stadium Shah Alam di sini Selasa.

Pemain pertahanan V. Thirumurugan menjadi wira pasukan kebangsaan kerana berjaya menyumbat satu-satunya gol dalam perlawanan berkenaan pada minit ke-38, selepas membuat larian cantik dan mengelirukan dua pemain pertahanan Zimbabwe sebelum membuat rembatan kencang melepasi celah kelangkang penjaga gol dan ketua pasukan Zimbabwe Tapiwa Mafunga.

Pada perlawanan persahabatan pertama mereka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras Ahad lepas, Malaysia, yang menggabungkan pemain muda dan senior bimbingan jurulatih K. Rajagobal, membelasah Zimbabwe 4-0.

Pemain senior yang diturunkan oleh Rajagobal termasuk ketua pasukan Selangor Mohd Amri Yahyah, penyerang Kelantan Indra Putra Mahyuddin dan pemain pertahanan tengah KL Plus Norhafiz Zamani Misbah.

Setelah mengalahkan pasukan pelawat dari Afrika itu dengan jumlah jaringan selesa pada perlawanan pertama, Rajagobal memberi peluang kepada pemain muda skuad kebangsaan beraksi di padang dengan membuat tujuh penggantian pemain pada separuh masa kedua perlawanan hari ini.

Dua perlawanan persahabatan dengan Zimbabwe itu merupakan sebahagian daripada persiapan yang dibuat pasukan kebangsaan sebelum menentang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Dalam dua perlawanan persahabatan itu, saya telah menurunkan kesemua 28 pemain. Kini, saya dah ada dalam fikiran saya siapakah yang akan diturunkan sebagai barisan kesebelasan utama bagi menentang Red Devils Sabtu ini," kata Rajagobal selepas perlawanan hari ini.

Jurulatih itu berkata memandangkan corak permainan apabila menentang kelab Inggeris itu dijangka panas dan pantas, pemain muda Malaysia perlu mempersiapkan diri untuk berdepan dengan aksi-aksi mendebarkan.

Malaysia: Mohd Farizal Marlias, Mohd Asraduddin Putra Omar, Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safiq Rahim, Amar Rohidan, Indra Putra Mahyuddin, Mohd Khyril Muhymeen, Mohd Amri Yahyah, Mohd Sabre Mat Abu, Mohd Shakir Mohd Ali, Mohd Azmi Muslim, Khyril, K. Gurusamy, S.Kunanlan, Mazlizam Mohamad, Mohd Bunyamin Umar, Faderin Kadir, Stanley Bernard, Mohd Sharbenee Allawee, Baddrol Bakhtiar, Mohd Muslim Ahmad.

ZIMBABWE: Godfrey Mangove, Brian Mapfumo, Voster Chitema, Tendai Samanja, Fidelis Mangezie, Charles Chiutsu, Asani Nhongo, Luckmore Simango, Chrisopher Semakwere, Daniel Zokoto, Abel Chimusaru, Darrly Nhahdoro, Daniel Kamunenga, Tapiwa Mafunga, Brian Mapfumo, Tendai Gwata, Lawrence Mdhluli, Makai Kawashu.

0 Komen Anda: