CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 7 Julai 2009

Hanya Empat Pemain Senior Kebangsaan Dipanggil Menentang Manchester United


PETALING JAYA, 6 Julai (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal telah memutuskan untuk memanggil hanya empat pemain senior daripada 28 senarai pemain untuk latihan pusat bagi perlawanan menentang kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester United (MU) pada 18 Julai ini.

Empat pemain senior terbabit adalah Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), V.Thirumugan (Kedah) dan ketua pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah.

"Semua pihak dan peminat harus faham bahawa matlamat asal pasukan adalah bagi menghadapi Sukan SEA di Laos penghujung tahun ini yang membabitkan pemain-pemain bawah 23 tahun.

"Daripada senarai pemain ini, saya sesekali tidak menafikan sumbangan mana-mana pemain senior seperti penjaring terbanyak Liga Super, Mohd Nizaruddin Yusof dan Mohd Harris Safwan (penjaring terbanyak Liga Perdana) serta penyerang Selangor, Mohd Safee Sali, cuma dengan masa yang ada kita perlu fokus kepada matlamat asal," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) petang Isnin.

Rajagobal berkata perlawanan menentang MU merupakan satu perlawanan yang baik untuk pemain-pemain terutamanya yang muda meraih pengalaman berharga daripada menjalani latihan sahaja.

Sebelum menentang kelab bimbingan Sir Alex Ferguson itu, skuad kebangsaan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Liberia pada Ahad ini (12 Julai) dan Selasa depan (14 Julai) bagi menguji kombinasi pemain.

Mengenai pembatalan kejohanan Pestabola Merdeka berikutan ancaman wabak Influenza A (H1N1), Rajagobal berkata mereka kini sedang berusaha untuk mengatur perlawanan persahabatan di luar negara, perkara sama yang dilakukan ketika pembatalan kejohanan Piala Antara Benua bulan lepas.

"Namun suasana di dalam kejohanan dengan perlawanan persahabatan adalah sesuatu yang sangat berlainan terutamanya jika hendak menguji pemain-pemain," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata pihaknya kini hanya menunggu surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan mengenai pembatalan itu.

"Secara lisan melalui perbualan telefon dengan pihak kementerian sebanyak dua kali, mereka menasihatkan kami membatalkannya," katanya.

Mengikut perancangan, kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung pada awal bulan depan akan membabitkan beberapa buah negara seperti Thailand dan Indonesia sekaligus persediaan terbaik skuad bawah 23 tahun kebangsaan menghadapi Sukan SEA di Laos.

Berikut ialah senarai 28 pemain: Mohd Farizal Marlias, Amar Rohidan, Mazlizam Mohamad, Baddrol Bakhtiar, Mohd Khyril Muhayameen Zambri, V.Thirumugan, Mat Sabree Abu, Mohd Amri Yahyah, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Aidil Zaquan Abdul Radzak, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, S.Kunalan, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Indra Putra Muhayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Safiq Rahim, Mohd Bunyamin Omar, Mohd Azmi Muslim, Norshahrul Idlan Talaha, Stanley Benard Stephen Samuel, Syed Adney Syed Hussein, Mohd Muslim Ahmad, K.Gurusamy, Ahmad Shakir Ali, Farderin Kadir, G.Mahathevan, Kamarul Afiq Kamruddin.

0 Komen Anda: