CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 11 Jun 2009

Malaysia Atasi Amerika Syarikat 5-2


JOHOR BAHARU, 10 Jun -- Malaysia mencapai kemenangan kedua pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2009 apabila menumpaskan Amerika Syarikat 5-2 pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Taman Daya di sini malam ini.

Bagaimanapun, jurulatih kebangsaan K. Rajan tidak berpuas hati dengan bilangan jaringan yang boleh membantu pasukan negara mencapai kedudukan baik dalam kumpulan sebelum menentang Sepanyol, Jumaat ini.

"Kami dan penonton teruja pada 20 minit pertama perlawanan dan selepas itu pemain mengambil sikap mudah sehingga pasukan lawan bangkit semula," katanya yang jelas kecewa dengan prestasi anak buahnya.

Malaysia memulakan saingan dengan agresif dan kemas apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Muhd Izzat Mohd Rahim.

Mohd Marhan Mohd Jalil menambah gol kedua pada minit kelapan sebelum Faizal Saari menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-10 dan seminit kemudian Mohamad Shafiq Mohamed Zain memperkukuhkan kedudukan 4-0.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat, yang masih memburu kemenangan pertama selepas dua perlawanan sebelum ini, merapatkan jurang menerusi jaringan Nicholas Szoke pada minit ke-29.

Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan melancarkan serangan bertali arus tanpa sebarang hasil sebelum Amerika Syarikat menjaringkan gol kedua menerusi pukulan sudut penalti oleh Jedidiah Cunningham pada minit ke-58.

Bagaimanapun, Faizal menjaringkan gol peribadi keduannya untuk menutup tirai jaringan pasukan negara pada minit ke-65.

Jurulatih Amerika Syarikat Nicholas Conway berkata pemainnya hilang arah apabila Malaysia melancarkan serangan bertubi-tubi dan menjaringkan empat gol pada 20 minit pertama perlawanan.

"Gol jaringan Malaysia itu bermutu tinggi," katanya.

Beliau, bagaimanapun, berkata beliau bangga dengan Szoke dan Cunningham kerana berjaya menghasilkan gol buat kali pertama selepas dua perlawanan menentang Korea Selatan pada Ahad lalu dan Sepanyol pada hari berikutnya.

Dalam kumpulan itu, Malaysia, Sepanyol dan Korea Selatan masing-masing mengumpul enam mata. Bagaimanapun, Sepanyol dan Korea Selatan mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Sepanyol akan menentang Korea Selatan esok.

Pada perlawanan Kumpulan A di stadium sama, Mesir mencipta kemenangan sulung apabila menewaskan Russia 3-0.

Sementara itu, di Stadium Sengkang, SINGAPURA, Afrika Selatan turut meraih kemenangan pertama selepas tiga perlawanan apabila menumpaskan Chile 6-1 dalam Kumpulan B manakala Poland mengumpul tiga mata pertama dengan menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan Kumpulan D.

0 Komen Anda: