CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 29 Jun 2009

Lee Chong Wei Terus Aksi Cemerlang

Hajat Pei Tty-Eei Hui raih juara berganda tak sampai

TANPA perlu bertunjangkan kecergasan terbaiknya, Lee Chong Wei tetap terlalu hebat untuk cuba disaingi pemain muda China, Chen Long dalam laluannya mengungguli Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, semalam. 

Chong Wei, menerima rawatan fisioterapi setiap hari selepas mengadu sakit belakang ketika pusingan pertama lalu, hanya perlukan 31 minit untuk menundukkan Chen Long 21-15, 21-9 di Stadium Tertutup Johor Bahru.

Ia adalah gelaran kedua berturut-turutnya selepas memenangi Siri Super Terbuka Indonesia, minggu lalu. 

CHONG Wei (kiri) dan Chen Long bersama hadiah juara dan naib juara perseorangan lelaki yang mereka menangi di Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, semalam.

Sayangnya, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, gagal untuk turut bergelar juara berganda selepas tumpas 9-21, 11-21 kepada pasangan muda China, Ma Jin-Wang Xiaoli pada final beregu wanita.

Chong Wei bagaimanapun memuji persembahan Chen Long dan menyifatkan pemain berusia 20 tahun itu sebagai jaguh muda dalam pembikinan. 

"Dia akan suatu hari nanti menggantikan tempat Lin Dan, Chen Jin dan Bao Chunlai. Dia punya serangan yang bagus dan mampu jadi pencabar digeruni nanti.

ZulDean bersama Lee Chong Wei di Stadium MBJB semalam.

"Kini, tumpuan saya ialah Kejohanan Dunia. Pencapaian terbaik sebelum ini hanyalah pingat gangsa. Tahun ini adalah peluang terbaik saya tetapi ia perlu dibantu persiapan yang sempurna," katanya. 

Pei Tty-Eei Hui pula mengakui kecewa gagal meraih gelaran kedua selepas memenangi Terbuka Indonesia, minggu lalu.

"Kami dapat tahu mereka adalah pasangan yang pantas, tetapi kami tidak sangka mereka amat pantas. Kami hadapi masalah menyesuaikan diri dengan rentak mereka. Kini, kami perlu kembali fokus untuk persiapan ke Kejohanan Dunia," kata Pei Tty.

0 Komen Anda: