CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 15 Mei 2009

Sejarah baru badminton

Mew Choo pastikan Malaysia ke separuh akhir Piala Sudirman

HANYA 24 minit diperlukan pemain wanita utama negara, Wong Mew Choo, buat melakar sejarah baru skuad badminton negara yang julung kalinya mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Sudirman selepas kemenangan 3-2 ke atas Denmark, malam tadi. 

Selepas Lee Chong Wei menebus kehampaan gandingan Fairuzizuan Tazari-Wong Pei Tty buat mengikat kedudukan 1-1, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mempamer aksi terbaik mereka di Gimnasium Guangzhou buat menjelmakan kelebihan negara.

Lantas, Mew Choo kemudiannya menghadirkan tahap persembahan mantap dalam laluan membenam tentangan pemain Denmark, Nanna Brosolat Jensen untuk menjamin mata kemenangan negara yang muncul naib juara Kumpulan 1A. 

Ia sekali gus memecah kebuntuan skuad negara yang tidak pernah berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik sejak kejohanan itu diperkenalkan, 20 tahun lalu. 

Lawan negara pada separuh akhir nanti ialah juara bertahan, China, yang muncul juara Kumpulan 1B selepas mengatasi Indonesia, 3-0. Satu lagi separuh akhir menemukan Korea Selatan dan Indonesia.

Sejak awal, strategi Denmark jelas bergantung kepada pungutan mata menerusi tiga beregu, apabila Peter Gade tidak disenarai dalam perseorangan lelaki. 

Ianya bermula baik buat mereka apabila Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl menundukkan Fairuzizuan-Pei Tty 21-17, 24-22. 

Jan O Jorgensen, sebagai pengganti Peter Gade, kemudiannya jelas bukan lawan Chong Wei yang menang mudah 21-11, 21-18. 

Kunci kejayaan negara jelas dicipta Kien Keat-Boon Heong yang sama sekali memerangkap bekas juara dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen, dengan persembahan kemas dalam laluan kemenangan 21-9, 21-14.

Mew Choo menampakkan betapa dia makin hampir ke tahap terbaiknya selepas tersisih sekian lama akibat kecederaan apabila langsung tidak membenarkan Jensen mengawal rentak permainan buat menang 21-8, 21-11. 

Kekalahan Pei Tty-Chin Eei Hui - 10-21, 21-16, 11-21 kepada Rytter Juhl-Lena Frier Kristiansen, kemudiannya hanya pelengkap pertandingan.

0 Komen Anda: