CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 21 April 2009

K. Rajagobal Jurulatih Baru Skuad Kebangsaan


PETALING JAYA, 20 April Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan jurulatih skuad Bawah 23 tahun kebangsaan, K.Rajagobal sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan B.Sathianathan yang diminta berhenti pada 1 Feb lepas.

Pelantikan Rajagobal itu diumumkan Timbalan Presiden FAM Datuk Redzuan Sheikh Ahmad pada satu sidang media di ibu pejabat badan induk bola sepak negara di Kelana Jaya di sini hari ini.

Media sebelum ini menyenarai pendek tiga jurulatih tempatan yang berkaliber dalam menerajui pasukan masing-masing dalam kancah Liga Malaysia selepas Presiden FAM Sultan Ahmad Shah membuat perakuan untuk memberi keutamaan kepada calon tempatan.

Mendahului senarai ialah Mohd Azrai Khor Abdullah (Kedah), K.Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda).

"Pelantikan Rajagobal mendapat restu daripada Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan Rajagobal sendiri mengaku menerima tanggungjawab tersebut," kata Redzuan dalam sidang media tersebut.

Menjelaskan dengan lebih lanjut pelantikan itu, Redzuan berkata Rajagobal akan diberikan kontrak dua tahun dan pilihan satu tahun, begitu juga bagi dua pembantunya, Tan Cheng Hoe dan Mohd Faozi Mukhlas.

Mengenai skuad Harimau Muda (skuad bawah 19 tahun kebangsaan), Redzuan berkata Ong Kim Swee dan pembantu-pembantunya akan mengambil alih tugas selaku jurulatih daripada Rajagobal dalam masa terdekat.

Redzuan juga mengumumkan skuad kebangsaan akan mewakili negara pada Pestabola Merdeka Ogos depan yang menampilkan sembilan pasukan bagi membaiki ranking dunia, berbeza dengan keputusan sebelum ini untuk menghantar skuad bawah 23 tahun.

Mengenai ketiga-tiga jurulatih (Mohd Azraai, Devan dan Dollah) yang disenarai pendek sebelum ini, Redzuan berkata walaupun ada jurulatih yang telah menyatakan minat tetapi persatuan negeri enggan melepaskan mereka.

Walaupun FAM boleh 'menggunakan kuasa' dengan meletakkan kepentingan negara didahulukan, beliau berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu enggan menggunakannya kerana tidak mahu menjejaskan hubungan dengan persatuan negeri.

Mesyuarat Majlis FAM pada 11 April lepas baru sahaja memutuskan untuk melantik Rajagobal sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Sementara itu, Rajagobal ketika mengulas mengenai pelantikan itu berkata ia merupakan satu penghormatan kepadanya walaupun menyedari ia juga merupakan satu tanggungjawab yang besar.

"Saya tahu dan seluruh rakyat tahu bahawa ia merupakan satu perkara yang tidak mudah tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik dan bersikap realistik," kata jurulatih berusia 53 tahun itu.

Mengenai pemilihan pemain, Rajagobal berkata beliau akan berhubung rapat dengan semua jurulatih pasukan dalam Liga Malaysia bagi memastikan siapa pemain yang berada di tahap terbaik.

Beliau yang memegang lesen A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pernah membimbing pasukan Selangor pada tahun 2000 (memenangi Liga Perdana Satu, separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir Piala FA), Kelantan pada musim 2001/2002 (separuh akhir Piala Malaysia) sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun kebangsaan pada 2003.

-- BERNAMA

0 Komen Anda: