CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 5 Mac 2009

Beng Hee & Nicol ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR, 4 Mac  Kesemua pemain skuasy terkemuka Malaysia mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB yang berlangsung di Pusat Skuasy Kebangsaan di Bukit Jalil, di sini, Rabu.

Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David melayakkan diri ke suku akhir dalam bahagian wanita selepas menewaskan Madeline Perry dari Ireland 11-6, 11-8 dan 11-7 dalam masa 26 minit.

"Agak menggembirakan untuk melepasi perlawanan pertama kerana Madeline yang saya kenali, dia sememangnya bertenaga. Beberapa kesilapan di sana sini (oleh Madeline) memberi saya sedikit momentum dan kelebihan untuk menguasai permainan dan juga meraih mata. Jadi, saya gunakannya untuk terus mara.

"Memang bagus untuk mendahului 3-0. Saya hanya berusaha mencari rentak permainan lebih-lebih lagi semasa dalam pertandingan, cuba untuk menetapkan tumpuan. Anda tahu yang anda boleh bermain dengan lebih baik dalam pusingan berikutnya dan saya ternanti-nantikan perlawanan esok," kata Nicol yang akan berdepan Jenny Duncalf dari England.

Duncalf, pilihan kelima, menempah tempat ke suku akhir apabila menyingkirkan pemain Malaysia, Sharon Wee, juga dalam straight set 11-8, 11-7 dan 11-6 dalam masa 30 minit.

Selepas menamatkan pusingan pertama hari ini, kesemua pemain pilihan dalam bahagian wanita berjaya melangkah ke suku akhir.

Dalam bahagian lelaki, Ong Beng Hee melepasi halangan pertama dalam kejohanan itu dengan mengalahkan juara remaja dunia tahun lepas, Mohamed El Shorbagy dari Mesir dalam perlawanan lima set.

Beng Hee, juara bertahan dan pilihan kedua, mengetepikan El Shorbagy 11-3, 6-11, 11-4, 7-11 dan 11-6 dalam masa 56 minit.

"Saya berasa sangat lega kerana berjaya menewaskannya. Sekarang, daripada segi mental, saya fikir saya dalam keadaan baik sepanjang kejohanan ini. Saya akan memberikan persembahan terbaik saya dalam acara skuasy selepas perlawanan malam ini," kata Beng Hee.

Beliau berkata perlawanan suku akhir esok menentang Aamir Atlas dari Pakistan akan juga sesukar perlawanan pusingan pertama hari ini.

"Perlawanan esok juga merupakan sesuatu yang sukar. Saya pernah kalah kepadanya beberapa kali. Dia telah beraksi dalam perlawanan akhir remaja dunia. Seorang pemain remaja yang sedang meningkat... sentiasa idamkan kemenangan," katanya.

-- BERNAMA

0 Komen Anda: