CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Isnin, 29 Disember 2008

SUKMA tidak patut ketepi acara tenis


Tindakan Majlis tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) menyingkirkan acara tenis daripada temasya Sukma 2010 di Melaka bukanlah langkah bijak dan berpandangan sempit ke arah merealisasikan impian hendak menjadi tenis sebagai sukan negara, sama seperti sukan lain khususnya badminton, skuasy dan bola sepak.


Sepatutnya Sukma menyokong, malah membantu usaha gigih Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bagi mencapai misi dan visinya melahirkan jaguh sukan tenis negara, lebih-lebih lagi memandangkan tenis sudah menjadi acara utama Olimpik dan kian popular dikalangan peminat sukan tempatan.


Hal demikian ini terbukti daripada sambutan hangat diberikan ketika jaguh sukan dunia seperti bekas pemain nombor satu Roger Federer serta bintang lagenda Sampras, McEnroe dan Bjorn Borg mengadakan pertunjukkan di Kuala Lumpur, suatu persembahan cukup mengagumkan dan menghiburkan.


LTAM diberitakan sudah berusaha setakat termampu dengan membuat rayuan agar tenis tetap dimasukkan sebagai acara Sukma, namun seperti kata presidennya, datuk Abdul Razak Latiff, persatuan sudah membuat rayuan dua kali tetapi masih tetap ditolak dengan alasan yang hanya diketahui Majlis Tertinggi Sukma sendiri.


Penyenaraian tenis dalam acara Sukma 2010 di Melaka dapat menimbulkan keghairahan minat dikalangan pemain khususnya peringkat junior mempertingkatkan mutu permainan agar terpilih mewakili negeri masing-masing.


Prestasi pemain tenis menyaksikan graf turun naik dan perkembangannya sentiasa hanyut dan tengelam dalam glamor Datuk Lee Chong Wei dan datuk Nicol David masing-masing selaku pemain nombor satu dunia badminton dan skuasy.


Berbanding dengan negara jiran khususnya Thailand, mutu tenis negara mengelunsur tercorot. Thailand misalnya pernah melahirkan pemain yang berada dalam lingkungan senarai 10 rangking terbaik dunia. Skuad kita selalu kecundang kepada pasukan Indonesia pada tamasya Sukan Asia Tenggara (SEA).


Negara pernah melahirkan beberapa jagoan seperti Adam Malik dan kemudian V. Selvam. Selvam, paling lama bertahta sebagai pemain nombor satu negara. Beliau dikatakan berada pada kedudukan 290, rangking dunia tertinggi dicapai Malaysia.


Kini, beliau mengendalikan klinik tenis, langkah bijak bagi menyokong dan melengkapi usaha gigih LTAM meningkatkan mutu dan prestasi sukan ini pada peringkat nasional dan global.


Anak didik sekolah rendah perlu didedahkan kepada permainan ini, yang memang sukar hendak dilaksanakan sebab perlunya padang sempurna seperti pengakuan Federar, asalnya pemain bola sepak.


Pendedahan bakat baru ini boleh memanfaatkan latihan asas daripada Akademi Tenis Junior Duta, kemudiannya dapat diserapkan kepada Akademi Tenis Malaysia, ditubuhkan pada 1999, untuk muncul pemain berpontensi mewakili negara.


Dalam konteks lebih luas, LTAM menganjurkan beberapa pertandingan peringkat junior. Baru-baru ini, persatuan menganjurkan pertandingan remaja bawah 16 tahun berpasukan negeri bersama-sama ECM Libra yang diungguli Kuala Lumpur menewaskan Sarawak, yang banyak melahirkan bakat sukan dalam acara tertentu.


Kemunculan Marcus Chee sebagai wira Kuala Lumpur pasti sedikit sebanyak berbaloi daripada inisiatif LTAM mewujudkan Infrastruktur Prestasi Tinggi (HPI) yang dimulakan sejak 2007.


Tenis selalu dikaitkan dengan status elit, suatu yang menghantui bakat baru hendak terus menceburi sukan nini.


Gelanggang tenis di sekolah tertentu khusus sekolah berasrama penuh dapat dikatakan kurang dimanfaatkan pelajar sebab status elit itu sendiri. Justeru, status elit itu perlu dipisahkan agar peminat terutama di kalangan remaja dapat menyamakan tenis dengan acara sukan lain.


Pastinya, peningkatan taraf tenis menjadi sukan negara memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak tanpa terserah bulat-bulat kepada LTAM. Dalam konteks beginilah, tenis perlu disenaraikan dalam apa juga temasya sukan negara,lebih-lebih lagi Sukma, landasan bermakna dan signifikan dalam melahir untuk pemilihan skuad negara dalam apa juga pertandingan serantau dan antarabangsa.

0 Komen Anda: