CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Ahad, 28 Disember 2008

Bola sepak, hoki mengecewakan

Sukan popular terus dibelenggu kemerosotan

Sebagai sukan nombor satu Malaysia dan mempunyai pengikut paling ramai, bola sepak negara terus berada di ambang yang suram apabila gagal mengekalkan kejuaraan Pesta Bola Merdeka kepada barisan muda Vietnam.

Bermula dengan kejayaan membelasah pasukan kelas tiga seperti Afghanistan, Nepal dan Sierra Leone serta Myanmar di peringkat separuh akhir, skuad dibimbing B Sathianathan kecundang menerusi sepakan panalti penentuan kepada barisan B23 Vietnam dalam perlawanan akhir.

Kepahitan melihat satu-satunya trofi yang sepatutnya mampu dimenangi tetapi terlepas kepada barisan lebih muda Vietnam meragut keyakinan yang pada awalnya disandarkan terhadap skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Suzuki AFF.

Ramalan itu benar belaka apabila skuad yang sama gagal melepasi sasaran untuk ke peringkat separuh akhir apabila tewas kepada barisan senior Vietnam 3-2 sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Thailand 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.

Dari awal lagi, sudah ada api percikkan yang bakal membakar skuad kebangsaan apabila melihat anak buah Sathiananthan bergelut untuk menewaskan Laos dalam perlawanan pertama.

Sekalipun faktor kegagalan cuba ditutup dengan alasan keadaan padang yang buruk dan kesilapan besar penjaga gol, Helmi Elias Rizal, kegagalan bola sepak sebagai sukan kolektif perlu dipikul oleh pengurus FAM, jurulatih dan pemain.

Sementara itu, kegagalan skuad holi negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing, buat dua temasya berturut-turut serta menduduki tangga tercorot daripada tujuh pasukan dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah dalam kesinambungan tahun yang malap buat skuad hoki kebangsaan.

Tatkala beberapa pasukan Asia lain seperti Jepun dan China semakin menunjukkan peningkatan, anehnya skuad hoki negara yang dibimbing jurulatih Sarjit Sing menunjukkan kemerosotan mendadak selepas menjanjikan suatu kebangkitan apabila menduduki tempat kedua pada edisi 2007 Piala Sultan Azlan Shah dan gangsa di Piala Asia di Chennai tahun lalu.

Kegagalan pada pusingan kelayakkan di Kamigahara, Jepun pada April nyata menjadi detik paling mengecewakan lebih-lebih lagi ketika Malaysia pada awalnya berpeluang merebut salah satu tempat ke Olimpik sebelum dikecewakan tuan rumah dan keputusan pengadil pada detik-detik terakhir.

Episod hitam itu terus memalapkan senario hoki negara dan keputusan buruk pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah sekadar mengesahkan betapa mutu hoki negara semakin kronik dan memerlukan perubahan segera.

Sebagai antara sukan popular di Malaysia, pernah menduduki rangking keempat dunia serta disegani pada awal 70an serta mempunyai asas yang kukuh diperingkat akar umbi, hoki menjadi antara pasukan yang sering tidak ketinggalan untuk ke Olimpik.

Begitupun, hakikatnya prestasi sukan itu semakin merundum dan Liga Hoki Malaysia yang dianjurkan badan induknya, dilihat gagal melahirkan pemain pelapis berkeliber hingga terpaksa bergantung kepada kudrat beberapa tonggak yang sepatutnya sudah bersara.

Tanpa ada cubaan untuk melakukan perubahan besar oleh kedua-dua badan induk bola sepak dan hoki, dua sukan ini diramal sukar bangkit dalam tempoh terdekat.

0 Komen Anda: