CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Jumaat, 5 September 2008

Sakit Tekak, Demam Tak Halang Misi Famemas

Sakit Tekak, Demam Tak Halang Misi Famemas
(Hasnira Hasan - Berita Harian)

Kehilangan suara beberapa ahli Kelab Famemas Kuala Lumpur & Selangor (Famemas), selain seorang ahli demam, semalam tidak menjejaskan misi hari kedua kelab penyokong Malaysia itu untuk terus memberi sokongan kepada atlit negara di Korat, Thailand.

Meskipun berwajah sugul dan hanya mendiamkan diri, Mohd Izwan Sabri (Mardost) yang memakai baju panas seharian kerana demam, semalam tetap mengikut rombongan kami - penyokong Malaysia yang turut disertai tujuh ahli media, yang kini bergerak bersama menaiki bas ke enam lokasi pertandingan, bermula seawal jam 8.30 pagi.

Manakala dua pengendali utama penyokong, Khairol Nizam Ramli dan Raja Azwan Raja Azhar yang kehilangan suara dan sakit tekak tetap bersemangat memeriahkan sorakan.

Semalam juga turut menyaksikan gelagat lebih menarik sebagaian kami apabila lebih ramai dikalangan kami mengecat muka dengan warna Jalur Gemilang dan lukisan bendera kebanggaan rakyat Malaysia.

Malah, penyokong veteran kelab itu, Mansor Abdul Khoni turut memakai pakaian bendera Malaysia termasuk skirt, sebagai memeriahkan lagi suasana pertandingan terutama pada lokasi pertama tugasan kami - pertandingan akhir ping pong wanita di Klang Plaza Jomsurang, yang bermula jam 10.30 pagi.

Aksi membanggakan Ng Sok Kim menewaskan pemain Thailand 15-13 pada set terakhir, di dalam saingan sengit ternyata mengubah keletihan kami yang masih berterusan, apatah lagi ditambah dengan sakit tekak. Terasa bangga sebentar apabila jeritan kami dihargai keluarga sukan.

"Hari ini membuktikan penyokong mampu mengubah keputusan pertandingan," kata ketua bahagian selatan Famemas, Shafari Bakar (Kepten), semalam.

Aksi kumpulan Famemas jelas berjaya menarik perhatian ramai termasuk kumpulan penyokong tuan rumah - Thailand, yang turut meniru rentak dan nada sokongan selain pengunaan alat bunyi, begitu juga Singapura yang membawa kumpulan sorak 'mudanya' semalam. Malah, beberapa kumpulan sorak Thailand turut kedengaran melaungkan 'Malaysia Boleh!' yang kerap digunakan kami.

Pada masa yang sama, terpaksa diakui, aksi ceria dan nakal sebahagian besar kami juga menyebabkan kebanyakan pegawai di pertandingan ping pong berebut bergambar bersama.

"Bagi kami, kehadiran Famemas di dalam satu-satu pertandingan bukan bertanding dengan kumpulan sorak yang ada. Kami sekadar membantu atlit meraih kemenangan, memeriahkan suasana dan juga berkongsi semangat kessukanan kepada semua penonton.

"Kadangkala, apabila atlit Malaysia tidak bertanding, kami turut bersorak untuk pasukan tuan rumah atau negara jiran lain.

"Kami bangga juga jika kaedah sokongan kami menjadi ikutan. Itu bukan masalah kepada kami kerana Famemas selalunya mempunyai kelebihan sendiri - dari segi penggunaan alat bunyi seperti drum, kompang dan pembesar suara," katanya.

Tugas kami semalam berakhir di His Majestic Stadium. Meskipun kepenatan dan keletihan jelas terasa, namun sokongan tidak akan dinoktahkan, kerana keceriaan akan bersambung lagi, hari ini.

0 Komen Anda: